Pages

Tuesday

BULETIN PILIHAN

Harian Metro, 2 Dec 2010
Santan Kelapa Sawit

Isu kekurangan bekalan kelapa yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini mungkin tidak lagi menjadi masalah besar kepada pengguna apabila Premium Food Corporation Sdn Bhd (PFC) memperkenalkan santan kelapa sawit dikenali sebagai Santan Khalis.
Pengarah Urusannya, Jasri Mohd Rashid, berkata kebanyakan pengguna berada dalam dilema terutama selepas berlakunya kekurangan bekalan kelapa mentah yang menjejaskan penjualan santan.
"Lebih ramai pengguna bertukar selera menggunakan susu, yogurt atau susu tepung dalam masakan bagi menggantikan santan kelapa, namun rasa yang dihasilkan agak berbeza.
"Oleh itu, kami memberi pilihan kepada pengguna untuk mencuba santan yang dihasilkan daripada kelapa sawit sebagai bahan utama dalam masakan menggantikan santan kelapa yang biasa digunakan," katanya ketika ditemui di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (Maha 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, semalam.
"Santan ini boleh tahan lebih lama dan tidak perlu dibekukan, sebaliknya cukup sekadar diletakkan dalam peti ais biasa.
"Jumlah santan yang digunakan dalam masakan dapat dikurangkan kerana ia perlu ditambah air tetapi dalam masa sama, tidak menjejaskan rasa," katanya.
Jasri berkata, penggunaan santan dapat mengelakkan berlaku pembaziran kerana ia membuatkan makanan tidak cepat basi.
"Kebanyakan peniaga mengalami masalah pembaziran kerana makanan cepat basi. Dengan santan ini, makanan dapat disimpan lebih lama.
"Sebagai contoh, cendol mampu bertahan hingga dua minggu jika disimpan pada suhu ditetapkan," katanya.

No comments: